PERINCIAN ukiran yang eksklusif dan mewah memberi nilai tambah buat teratak ini Alamat : 148,Kampung Parit Tengah, Mukim 12 Rengit, 83100 Batu Pahat, Johor Telefon : 013-733 4700 Facebook : Inap Desa Teratak Selari Bonda KAMPUNG Parit Tengah yang terletak dalam kawasan Rengit, Batu Pahat, Johor, bukanlah nama asing bagi para pelancong yang ingin menikmati suasana hidup yang masih mengekalkan 100 peratus tradisi bergotong-royong. Pernah menyandang gelaran johan Pertandingan Kebersihan, Kemajuan dan Keindahan Kampung peringkat daerah, negeri dan kebangsaan anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah antara tahun 1994 hingga 2000, tidak hairanlah kampung yang mengamalkan prinsip hidup bermuafakat atau guyup dalam bahasa Jawa ini cukup dikenali di negeri Johor. Lantaran itu, Kampung Parit Tengah yang menjadi tumpuan hampir dua dekad lalu mula menawarkan kemudahan inap desa dengan pelbagai pakej menarik yang mampu menggamit ramai pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk berkampung di situ.
Sekali pandang, rumah kayu dua tingkat yang tersergam indah ini memang sudah cukup untuk menggambarkan kesungguhan pemiliknya untuk memiliki rumah Melayu tradisi. "Saya memang mengimpikan sebuah rumah kampung yang dibina daripada kayu memandangkan rumah yang diduduki sekarang diperbuat sepenuhnya daripada batu. "Idea asalnya saya dan isteri hanya mahu bina pondok kecil yang boleh menjadi tempat persinggahan ketika pulang ke kampung pada hujung minggu. "Namun, selepas melihat pelan pondok, saya berasa luas binaannya kecil dan mula hendak menambah itu ini. Akhirnya, pondok yang dirancang sudah bertukar menjadi teratak," ujar pemiliknya, Yusof Khamis, 58. Dibangunkan sepenuhnya menggunakan lebih 60 tan kayu cengal dan belian, teratak dua tingkat ini mengambil masa selama dua tahun untuk dibina dan baru dibuka kepada orang awam selepas dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Rengit, Ayub Jamil, 2 Jun lalu. "Selepas siap dibina, rumah ini ditinggalkan kosong memandangkan saya masih bertugas di Johor Bahru. Hendak balik tiap-tiap minggu pun, ada masanya kami sibuk dengan urusan lain. "Lantaran sering ditinggalkan, ada jiran dan rakan-rakan yang mengesyorkan supaya ia dijadikan homestay. "Kami terus bersetuju. Sekurang-kurangnya rumah ini boleh memberi manfaat kepada orang lain selain menyumbang pendapatan sampingan kepada kami," kata isteri Yusof, Ngainon Samiran, 55, yang merupakan anak jati Kampung Parit Tengah. Hafal ukiran Ditanya mengenai nama Teratak Selari Bonda, ia sengaja dinamakan begitu memandangkan struktur binaannya yang selari dengan rumah ibunya.
Meninjau rumah yang kaya dengan elemen tradisi dan ukiran ini, rasa kagum memang mudah menjalar di hati setiap pengunjung yang bertandang ke mari. Mana tidaknya, hampir setiap sudut rumah ini tidak dibiarkan polos. Kemasan ukiran sama ada daripada motif flora mahupun fauna yang memartabatkan estetika warisan rumpun Melayu mudah dilihat di mana-mana. Dari kekisi tingkap, cucur atap, tebar layar hinggalah ke alang-alang atap, kesemuanya memiliki bentuk ukiran yang berbeza. "Saya mengupah tukang ukir khas dari Jepara, Jawa Tengah, Indonesia untuk memberi sentuhan ukiran eksklusif untuk teratak ini. "Mereka memang pengukir profesional, hinggakan hendak mengukir pun mereka tidak perlukan bantuan gambar rajah lukisan sebaliknya terus mengukir di atas kepingan papan," kata Yusof. Demi mengekalkan warisan rumah tradisi Melayu, Yusof mahukan binaan rumahnya dicantum hanya menggunakan pasak dan skru. Ketukan paku pula tidak dibenarkan sama sekali. Tidur di beranda Mempunyai dua bilik di aras bawah, Yusof lebih selesa membiarkan tingkat atas kosong tanpa bilik. "Hampir kesemua pengunjung lebih selesa tidur berselerak di luar bilik, sama ada di tingkat atas mahupun di bawah. Malah, mereka sanggup mengalihkan perabot ke tepi dan tidur sampai ke beranda luar. "Di sini, suasana malamnya memang nyaman dan bebas daripada nyamuk. Disebabkan itu, ramai yang lebih gemar membentang tilam dan tidur di beranda luar," katanya yang cuba mengarap konsep Bali dalam rekaan dalaman terataknya itu.
Sebagai inap desa mesra alam juga, teratak ini turut menyediakan dua pengatup sinar ultra ungu di tingkat atas rumah bagi menggantikan fungsi lampu pada siang hari. Menjengah ke bahagian dapur yang dipisahkan dengan pintu gelangsar, ruangannya yang luas memang cukup selesa andainya pengunjung ingin memasak buat keluarga. Kemasan kabinet bawah dan meja makan yang diperbuat daripada kayu melengkapkan lagi fungsi bahagian tersebut. Jika ingin bersantai dan mengambil angin, ruang beranda yang luas tersedia di sepanjang binaan rumah. "Pengunjung boleh duduk di set kerusi taman, bangku perahu ataupun bersila di lantai, semuanya terpulang kepada keselesaan masing-masing. "Faktor keselamatan pula jangan dirisaukan kerana kawasan rumah ini berpagar dan kedudukannya hampir dengan rumah jiran-jiran yang lain," ujar Ngainon. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_04.htm#ixzz2pRPc8YCS Hakcipta terpelihara |